" You're my heart, You're my soul, You're my everything...PAPA N MAMA :) "
Hakim Birthday
Thursday, May 15, 2008

Pneumokokal ancam nyawa kanak-kanak

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

PENYAKIT pneumokokal ialah punca penyakit dan kematian utama yang semakin disedari di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati hingga kini ia menjadi menjadi punca kematian lebih sejuta bayi dan kanak-kanak dalam tempoh hanya setahun.

Walaupun vaksin mencegah, Pneumcococcal Conjugate Vaccine (PCV7) sudah diperkenalkan namun kajian dikalangan ibu bapa menunjukkan hampir 70 peratus masih belum begitu arif mengenainya termasuk bahaya menunggu anak yang dijangkiti sehingga boleh membawa kepada kematian dan pencegahan yang boleh didapati menerusi PCV7.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan bahawa vaksin yang sedia ada untuk mencegah iaitu PCV7, harus diberi keutamaan dalam program imunisasi kebangsaan. Keputusan ini menyusuli cadangan Kumpulan Pakar Penasihat Strategik (Sage) yang menyokong langkah memperkenalkan vaksin.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Dr Zulkifli Ismail, berkata sungguhpun kesedaran terhadap penyakit dan bahaya vaksin itu semakin meningkat berbanding pada 2005, masih ramai yang belum tampil mendapatkannya, sekali gus menyukarkan usaha memerangi pneumokokal.

“Sebahagian besar daripada ibu bapa Malaysia tidak sedar bahawa jangkitan pneumokokus boleh menyebabkan kerumitan seperti kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, gangguan pertuturan, palsi serebrum, kecacatan otak dan kadangkala membawa maut.

“Masalah mengenai penyakit ini ialah kesukaran mengesannya. Dalam kes keluar cecair daripada telinga, pegawai perubatan tidak akan mengesan penyakit andai tidak memeriksa secara terperinci, malah kemampuan ubat merawat pengeluaran cecair yang keluar itu umpamanya turut menyulitkan proses mengenalpasti jangkitan pneumokokal,” katanya mengulas mengenai kesedaran masyarakat terhadap pneumokokal.

Kempen kesedaran pneumokokal anjuran bersama Persatuan Pediatrik Malaysia adalah lanjutan daripada usaha memerangi penyakit itu tahun lalu dan dirangka untuk mendidik ibu bapa mengenai pelbagai aspek termasuk beban penyakit, gejala, tanda dan risiko, selain pentingnya pemvaksinan untuk menentangnya.

Pneumokokal merangkumi pelbagai penyakit berpunca daripada bakteria streptokokus pneumoniea yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Ini termasuk beberapa penyakit serius dan invasif seperti meningitis (radang lapisan membran korda spina dan otak), bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), pneumonia bakteremia dan jangkitan bukan invasif seperti media (radia telinga tengah) dan sinusitis akut (radang sinus).

Hasil penemuan kajian menunjukkan bahawa kesedaran mengenai pnuemokokal menerusi vaksin yang ada perlu dipertingkatkan dengan merapatkan jurang kesedaran antara ibu bapa dengan mengajak mereka mengambil langkah proaktif untuk melindungi anak masing-masing.

Vaksin PCV7 membantu melawan penyakit melalui fenomena penggantian ke atas tujuh sterotaip kuman pneumokokus iaitu 4, 6B, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F. Ia memberikan memori kepada sistem imunisasi dalam tubuh untuk melawan bakteria ini apabila ia memasuki tubuh.

Dr Zulkifli berkata, kempen berkenaan merangkumi iklan cetak akhbar dan majalah utama dan juga iklan radio. Di samping itu, talian terus memerangi pneumokokal dilancarkan tahun lalu akan terus memberi perkhidmatan kepada ibu bapa dan melengkapkan mereka dengan maklumat lanjut mengenai penyakit.

“Memang mudah untuk mengabaikan gejala pneumokokal di kalangan kanak-kanak kerana gejala mungkin muncul dalam bentuk selsema, batuk dan demam. Tahun ini kami berharap ibu bapa akan menyedari gejala dan berbincang dengan doktor mengenai langkah pencegahan.

“Pneumokokal ialah penyakit serius dan ibu bapa perlu memahami pelbagai aspek yang berbeza. Walaupun kami sedar bahawa pendidikan menyeluruh dan kesedaran penyakit ialah proses langkah demi langkah yang mengambil masa, kami komitmen untuk membantu ibu bapa meningkatkan kefahaman mereka mengenai pneumokokal,” katanya yang menyatakan sedikit belanja yang dikenakan untuk mendapatkan beberapa dos mungkin berbaloi untuk masa depan anak anda.

FAKTA

  • Pneumokokal menggambarkan sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria ‘streptococcus S.pneumoniae', yang juga dikenali sebagai ‘pneumokokus'.

  • Patogen bakteria ini yang menyerang kanak-kanak dan orang dewasa, ialah punca penyakit dan kematian utama di seluruh dunia.

  • Selepas bakteria pneumokokus menyerang dan ‘menakluki' saluran pernafasan atas, ia boleh disebarkan secara setempat atau memasuki aliran darah atau cecair serebrospina (csf) dan menyebabkan pelbagai penyakit.

  • Penyakit yang serius dan invasif dinamakan penyakit pneumokokal invasif, yang mana bakteria boleh diasing daripada darah, csf, cecair pleural atau bahagian lain yang biasanya stril.

  • Pneumokokal invasif termasuklah bakteremia (jangkitan bakteria darah), meningitis (jangkitan bakteria membran korda spina dan otak), dan pneumonia bakteremia.

  • Penyebaran pneumokokus daripada nasofarinks ke saluran pernafasan atas dan bawah menyebabkan penyakit pneumokokal invasif, termasuk peneumonia bukan bakteremia (radang paru-paru), otitis media akut (radang telinga tengah) dan sinusitis (jangkitan sinus). Jika tidak dirawat atau gagal dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, gangguan pembelajaran, kelewatan berturut, palsi serebrum, kecacatan mental dan kadangkala kematian.

  • Beberapa faktor meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami jangkitan pneumokokus. Bayi baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi, kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah.

  • Daya tahan yang lebih lemah disebabkan masalah seperti kekurangan imun kongenital atau HIV juga mengurangkan risiko jangkitan. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan pada waktu siang juga mungkin dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitaran pusat jagaan berkenaan.

  • Sejak 30 tahun lepas, ada pertambahan dari segi strain S.pneumoniae yang mempunyai daya tahan terhadap penisilin dan antibiotik lain. Penularan strain pneumokokus yang tahan antibiotik terus meningkat di seluruh dunia. Akibatnya peranan yang dimainkan oleh vaksin untuk mencegah penyakit kini semakin penting.

  • Hingga kini vaksin berkenaan boleh didapati pada harga antara RM280 hingga RM320 untuk satu dos. Maklumat lanjut hubungi talian di 1-800-882-339.

Labels:

posted by papa @ 12:54 PM  

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home