" You're my heart, You're my soul, You're my everything...PAPA N MAMA :) "
Hakim Birthday
Thursday, May 15, 2008

Vaksin PCV7 elak kanak-kanak diserang Pneumokokal

Oleh Halina Mohd Noor

Tidak dapat dibayangkan apabila anak yang dilahirkan normal tiba-tiba bertukar cacat hanya disebabkan demam panas. Lebih trauma apabila anak yang awalnya diserang demam selsema terlantar di wad rawatan rapi dan akhirnya tanpa diduga meninggal dunia.

Pastinya ramai ibu bapa tertanya-tanya, bagaimana demam panas boleh menyebabkan sawan sehingga boleh berlaku cacat pendengaran, terencat akal atau mungkin membawa maut? Jawapannya, ia berpunca daripada penyakit pneumokokal.

Jangan salahkan diri anda kerana tidak tahu apa itu pneumokokal. Anda sebenarnya tidak keseorangan. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan Wyeth Pharmaceuticals ke atas 2,000 ibu bapa di Asia mendapati, hampir separuh daripada responden tidak menyedari mengenai kewujudan penyakit itu.

Lebih menghampakan, ramai ibu bapa di Asia tidak menyedari bahawa penyakit yang meragut kebahagiaan anak kecil itu sebenarnya boleh dielakkan dengan sejenis vaksin yang dikenali sebagai Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV 7).

Pengarah Unit Penyakit Jangkitan Pediatrik Universiti Pusat Perubatan Soroka, Ron Dagan, berkata PCV7 adalah vaksin pertama dan satu-satunya yang mampu mencegah penyakit pneumokokal dikalangan bayi dan kanak-kanak berusia kurang daripada 24 bulan.

“Vaksin PCV7 membantu melawan penyakit melalui fenomena penggantian ke atas tujuh sterotaip kuman pneumokokus iaitu 4, 6B, 9V,14, 18C, 19F dan 23F. Ia memberikan memori kepada sistem imunisasi dalam tubuh untuk melawan bakteria ini apabila ia memasuki tubuh.

“Hasilnya, ia mampu mengurangkan serangan penyakit pneumokokal seperti otitis media, meningitis dan bakteria di dalam hidung dan tekak yang menyebabkan ia menjangkiti orang lain. Walaupun tidak diketahui sejauh mana kesannya dalam mengurangkan pneumonia, secara keseluruhannya ia menunjukkan penurunan risiko mengalami penyakit itu,” katanya pada sidang media mengenai penyakit pneumokokal di Singapura, baru-baru ini.

Beliau berkata, bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun yang tinggal di pusat asuhan dan jagaan lebih terdedah dijangkiti kuman pneumokokus. Lebih 20 peratus kanak-kanak membawa kuman ini melalui hidung dan tekak. Justeru, suntikan vaksin amat berfaedah bagi menghalang mereka dijangkiti.

“Kuman disebarkan kepada kanak-kanak melalui pelukan dan ciuman oleh ibu bapa atau orang dewasa yang mengalami selsema. Ia kemudian disebarkan kepada kanak-kanak lain melalui bersin atau batuk. Selain kanak-kanak, mereka yang HIV positif dan mempunyai sistem imunisasi lemah seperti perokok dan warga emas turut mudah dijangkiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Penyakit Jangkitan dan Tropika Pediatrik Kolej Perubatan Universiti Filipina, Prof Lulu C Bravo, berkata kesedaran bagi meningkatkan pengetahuan ibu bapa di Asia mengenai penyakit pneumokokal amat penting bagi melawannya.

“Data menunjukkan jumlah kematian yang tinggi di kalangan kanak-kanak akibat pneumokokal setiap tahun. Kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun. Kematian akibat pneumonia berlaku satu daripada setiap lima kanak-kanak. Sejumlah 40 hingga 50 peratus kematian disebabkan jangkitan kuman pneumokokus.

“Berdasarkan data yang membimbangkan ini, vaksin adalah kaedah paling berkesan bagi mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti kuman ini. Pendidikan kepada ibu bapa mengenai kepentingan vaksin membolehkan mereka berbincang mengenainya dengan doktor yang merawat anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negara membangun terutama di Asia masih tidak mengenal pasti penyakit pneumokokal akibat ketiadaan kaedah diagnosis selain kos ujian yang tinggi serta kekurangan maklumat mengenainya.

“Ibu bapa tidak tahu mengenai bahaya pneumokokal walaupun ia boleh meragut nyawa. Vaksin membuktikan ia mampu memberikan impak besar bagi mencegah penyakit dan kematian akibatnya. Vaksin PCV7 mengurangkan 94 peratus kadar pneumokokal ke atas kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Amerika Syarikat sejak 1998 hingga 2003.

“Malah, kajian itu juga mendapati penurunan sebanyak 65 peratus di kalangan warga emas selepas menerima vaksin berkenaan,” katanya.

Vaksin PCV7 selamat diberikan kepada bayi baru lahir sehingga berusia 24 bulan. Hampir 97 peratus ibu bapa yang ditemui dalam kajian dijalankan mengakui mereka mahukan anak masing-masing diberi vaksin berkenaan.

“Vaksin ini sudah wujud dan diperkenalkan di negara industri. Masalahnya ia agak mahal terutama di kalangan masyarakat negara membangun di Asia. Tambahan pula ia belum dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan di kebanyakan negara sebelah Asia seperti Filipina, Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Fakta:

Pneumokokal Senario:

  • Berlaku disebabkan jangkitan kuman pneumokokus atau streptokokus pada organ di dalam tubuh.

  • Sekiranya jangkitan berlaku pada bahagian atas salur pernafasan yang menyebabkan bakteremia (jangkitan kuman dalam darah), sepsis (keracunan dalam darah), meningitis (jangkitan bakteria dalam membran tulang belakang atau otak) dan pneumonia.

  • Jika kuman streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ia menyebabkan pneumonia (radang paru-paru), otitis media akut (radang pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (radang dalam hidung). Jika ia tidak dirawat atau gagal dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan hilang pendengaran, kesukaran belajar, lambat bertutur, lumpuh dan kadangkala maut.

Cara mengesan:

Agak sukar kerana gejalanya seperti demam, berasa seram sejuk dan batuk berbeza mengikut jenis penyakit dan tidak khusus. Lazimnya pengesahan dibuat menerusi ujian rapi seperti x-ray atau ujian makmal.

Gejala (Pelbagai mengikut penyakit):

  • Bacteremia - gejala demam panas yang tinggi dengan petanda tidak khusus.

  • Meningitis - demam, sakit kepala yang teruk, loya, muntah, leher yang tegang dan fobia foto (mengelakkan cahaya akibat rasa sakit) di kalangan kanak-kanak lebih dewasa, manakala bayi menunjukkan demam dan tanda tidak khusus yang kerap.

  • Pneumonia - sawan secara tiba-tiba, sejuk, batuk, deman dan sesak nafas.

  • Otitis media akut - sakit telinga dan demam.

  • Sinusitis - demam, selesema dan batuk.

Labels:

posted by papa @ 12:19 PM  

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home