" You're my heart, You're my soul, You're my everything...PAPA N MAMA :) "
Hakim Birthday
Thursday, May 15, 2008

Gejala selesema, batuk, demam sering diabaikan - Kempen Perangi Penyakit Pneumokokal

PENYAKIT pneumokokal (PnD) merupakan punca penyakit dan kematian utama yang kini semakin disedari di seluruh dunia. Penyakit ini menjadi punca kematian lebih sejuta bayi dan kanak-kanak setahun.

Namun, dalam satu kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati, 70 peratus daripada ibu bapa Malaysia mengakui bahawa mereka masih tidak sedar tentang masalah ini, kaitannya kepada penyakit berbahaya seperti pneumonia dan pencegahan yang boleh dibuat menerusi vaksin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan bahawa vaksin yang sedia ada untuk mencegah PnD, iaitu Pneumcococcal Conjugate Vaccine (PCV7), harus diberi keutamaan dalam program imunisasi kebangsaan.

Keputusan ini menyusuli cadangan Kumpulan Pakar Penasihat Strategik (SAGE), yang menyokong langkah memperkenalkan vaksin.

PnD merangkumi pelbagai penyakit yang berpunca daripada bakteria Streptococcus pneumoniae yang turut dikenali sebagai pneumokokus.

Ini termasuk beberapa penyakit serius dan invasif seperti meningitis (radang lapisan membran korda spina dan otak), bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), pneumonia bakteremia dan jangkitan bukan invasif seperti otitis media (radang telinga tengah) dan sinusitis akut (radang sinus).

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Dr. Zulkifli Ismail menyuarakan kebimbangannya tentang tahap kesedaran yang rendah mengenai PnD di negara ini, berbanding perhatian lebih ketara terhadap penyakit yang diberikan oleh pemimpin kesihatan global.

“Sebahagian besar daripada ibu bapa Malaysia tidak sedar bahawa jangkitan pneumokokus boleh menyebabkan kerumitan seperti kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, gangguan pertuturan, palsi serebrum, kecacatan otak dan kadangkala membawa maut,” katanya pada majlis pelancaran kempen kesedaran penyakit PnD di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kajian tersebut memperlihatkan betapa kesedaran tentang PnD perlu dipertingkatkan di negara ini.

“Masyarakat kesihatan global kini menggiatkan usaha memerangi penyakit serius dan membawa maut ini dan sedar bahawa kaedah paling berkesan untuk mencegah PnD ialah menerusi pemvaksinan.

‘‘Kita perlu merapat kan jurang kesedaran antara ibu bapa Malaysia dan mengajak mereka mengambil langkah proaktif untuk melindungi anak masing-masing,” tambahnya.

Kempen kesedaran PnD anjuran MPA adalah kesinambungan usaha memerangi PnD pada tahun lepas. Ia dirangka khusus bagi mendidik ibu bapa tentang pelbagai aspek PnD, termasuk beban penyakit, gejala, tanda, risiko, juga pentingnya pemvaksinan untuk menentang PnD.

Kempen ini merangkumi iklan cetak di akhbar, majalah utama dan iklan radio. Di samping itu, talian terus Perangi PnD yang dilancarkan pada tahun sebelumnya akan terus memberikan perkhidmatan kepada ibu bapa dan melengkapkan mereka dengan maklumat lanjut tentang penyakit ini.

“Tahun lalu, talian ini menjawab pelbagai soalan daripada ibu bapa yang mengambil berat tentang gejala-gejala PnD yang perlu mereka awasi.

‘‘Memang mudah untuk mengabaikan gejala PnD di kalangan kanak-kanak kerana gejala mungkin muncul dalam bentuk selesema, batuk dan demam,'' jelas Dr. Zulkifli.

Harapannya, menerusi kempen lanjutan tahun ini, ibu bapa akan menyedari gejala PnD dan berbincang dengan doktor mengenai langkah-langkah pencegahannya.

Mengulas lanjut: “PnD ialah penyakit serius dan ibu bapa perlu memahami pelbagai aspeknya yang berbeza. Walaupun kami sedar bahawa pendidikan menyeluruh dan kesedaran penyakit ialah proses langkah demi langah yang mengambil masa, MPA komited untuk membantu ibu bapa meningkatkan kefahaman mereka tentang PnD,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai PnD, orang ramai boleh menghubungi talian Perangi PnD di 1800-882-339, kendalian profesional penjagaan kesihatan yang memberikan maklumat am mengenai PnD. Talian Perangi PnD dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5 petang.

Labels:

posted by papa @ 12:51 PM  

1 Comments:

At June 5, 2008 at 1:56 PM , Blogger infogue said...

  artikel anda bagus dan menarik, artikel anda:
http://penyakit.infogue.com/
http://penyakit.infogue.com/gejala_selesema_batuk_demam_sering_diabaikan

anda bisa promosikan artikel anda di www.infogue.com yang akan berguna untuk semua pembaca. Telah tersedia plugin/ widget vote & kirim berita yang ter-integrasi dengan sekali instalasi mudah bagi pengguna. Salam!  

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home